Assalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.
Baik adik-adikku yang teruna mahu pun yang gadis sudah tentu sedang menikmati usia manis ini. Cuba kenang kembali detik kita mula rasa malu dengan kaum berlawanan jenis. Berapa usia kita masa itu? 8 tahun? 9 tahun? 12 tahun? Kemudian cuba ingat pula berapa usia kita, tatkala kita mula menaruh perasaan pada kaum berlawanan jenis; 10 tahun? 11 tahun? Masa kecil, tentu kita pernah lalui: rakan atau adik-beradik menggelarkan kita dengan seseorang. “Mimi nak Adam. Mimi nak Adam.” Bila sudah kena gelar, muka merah padam kerana malu. Iya tak?
Aha…
masa inilah kita mula menyedari perasaan indah yang wujud dalam diri terhadap golongan lelaki. Perasaan apakah itu? Tentu adik tahu jawapannya; minat dan sayang. Setelah melintasi usia dara sunti, baru adik perasan tentang istilah cinta. Ada yang sebut ‘cinta monyet’. Lebih kurang usia 12 tahun ke atas, atau mungkin lebih awal; bergantung pada diri seseorang, kita mula rasa seronok bila ada ‘secret admirer’ .
Kasih, sayang dan cinta. 3 ungkapan digemari manusia. Baik lelaki, lebih-lebih lagi perempuan. [Cuma sesetengah lelaki ni ego nak ucapkan sayang... bila kekasih sudah melayang baru nyesal tak sudah] Tengoklah majoriti filem, telenovela dan drama; Cina, Korea, Jepun, Amerika Latin, Indonesia, Hollywood, Bollywood serta pelbagai lagi . Ia tidak sunyi dari persoalan cinta dan kasih sayang. Tanpa kisah cinta diselitkan, umpama masakan tanpa garam. Bahkan banyak cerita temanya cinta. Ia sesuai dengan fitrah insan suka berkasih sayang. Di atas fitrah cinta inilah Nabi Muhammad S.A.W diutuskan kepada kita. Allah menjelaskan dalam surah al-Anbiya’, ayat 107,
“Tidaklah kami mengutusi engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmat ke seluruh alam.”
Rahmat di sini memberi erti cinta, kasih sayang, simpati dan belas kasihan. Iya… adikku, Rasulullah S.A.W datang kepada kita membawa erti cinta. Menyampaikan kasih Tuhan. Membawa hadiah termahal di dunia untuk kita yakni ISLAM. Justeru, apa-apa yang dipesan Nabi S.A.W merupakan tanda kasih baginda pada kita. Nasihat-nasihatnya adalah buah cinta seorang hamba berstatus kekasih Allah pada kita.
Nabi Muhammad membawa cinta Ilahi untuk kita. Ibarat seorang ibu. Apabila dia menyuapi anak kecilnya, si ibu akan menyisih tulang-tulang bimbang melukai kita. Makanan yang baik disuapkan supaya kita sihat dan mampu menyambung hidup. Begitu pula kasih Nabi Muhammad pada kita ummatnya. Apa yang baik untuk kita, baginda galakkan dan yang merbahaya, minta kita menjauhinya.
Sekasih ibu pada anaknya,
Kasih lagi Muhammad pada ummatnya.
Sekasih Muhammad pada ummatnya,
Cinta lagi Allah pada hambaNya.
Adik-adikku,
Kakak nukilkan contoh di bawah bagi perempuan. Bagi jejaka boleh fahami sebaliknya.
Cuba bayangkan, atau adik-adik sendiri mungkin pernah mengalaminya; Seseorang minat kita dari jauh. Pada permulaannya dia segan menampakkan mukanya atau mengenalkan dirinya. Biasalah tu. Kadang-kadang peminat kita tu sentiasa kita jumpa sebenarnya. Walau begitu dia hantar clue pada kita. Dia kirim salam. Dia hantar bunga. Tapi tidak beritahu nama dia. Yang best lagi, tiap kali kita ditimpa kesusahan ada je pertolongan sampai. Kita terputus wang belanja belajar kat kampus. Tetiba je ada orang bank in duit dalam akaun kita. Aaah… banyak lagi la kebaikan yang dicurahkan pada kita secara ikhlas. Eh… macam dalam filem pula! Apa perasaan kita masa tu? Tentunya tertanya-tanya juga siapa sebenarnya si dia?
Inilah fitrah kita manusia sebenarnya. Walau pun belum tentu kita akan jatuh cinta dengan si dia, setidak-tidaknya kita ingin mengenali sekadar mengucapkan terima kasih. Iya tak? Tapi, apa kata… bila kita berpeluang menemuinya; first tengok muka dia, badan dia… wah hensemnya dia. Segak lagi. Berpakaian kemas lagi bersih. Dah le kaya (dok kirim duit tiap bulan dalam akaun kita). Bila risik-risik… anak Datok rupanya. [Tak pun, rupa-rupanya Mawi atau mana-mana jejaka pujaan hati. Mawi pun dah kahwin beb!] Wah, bertambah saham dia. Apa yang adik-adik fikir, andaikata ada lagi yang jauh lebih baik dari jejaka tadi juga meminati kita? Eh ada lagi ke? Putera raja contohnya. Dahlah tu… baik pula perangai dia; sopan, romantis, menghormati kita, suka bercakap benar. Siapaaa la tak nak! Ok la… boleh berangan-angan dulu.
Hmm… sudah puas berkhayal?
Kalau dengan perhatian dan kebaikan yang sedikit itu pun, sudah mampu mengetuk akal kita untuk mengetahui siapakah gerangan jejaka itu. Kalau dengan kasih yang baru berputik itu pun, cair hati kita untuk mengenalinya… apatah lagi dengan zat yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pemberi Rezeki, Maha Melindungi dan Maha Indah! Apakah tidak pernah terdetik walau sedetik untuk kita mengenali Allah? Seterusnya menyintai Allah? Kemudian menyubur rasa rindu untuk bertemu dan melihat wajahNya?
Gunakan fitrah yang sama; adik-adik akan belajar mengetahui dan mengenali satu zat yang amat menyintai kita. Dialah yang Maha Hebat menciptakan kita dengan kejadian yang unik. Apabila kita sudah mengenal pasti betapa hebatnya kejadian kita. Bagaimana kita diciptakan. Siapa yang menciptakan kita. Sekarang masanya kita menaruh rasa percaya sepenuhnya kepada Yang Maha Mencipta. Iya… kita percaya pada kewujudanNya kerana kita diciptakanNya. Kita tidak pernah mohon dihidupkan tapi dengan kasih Allah, kita dihidupkan. Kita diberi nikmat yang terlampau banyak. Allah menyebut hakikat ini dalam surah al-Nahl, ayat 18,
“Sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu mampu menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”